PETALING JAYA: Ada dalam kalangan mangsa kemalangan membabitkan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik pagi tadi berjaya keluar sendiri bagi menyelamatkan diri.
Dalam kejadian dipercayai berlaku 1.10 pagi itu, seramai 15 orang yang menaiki bas terbabit dilaporkan maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di lokasi kejadian.
Seramai 17 pegawai dan anggota bomba dan penyelamat (BBP) Grik dan Jeli dikejarkan ke lokasi kejadian yang turut dibantu Polis Diraja Malaysia (10) pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (21) dan Angkatan Perkhidmatan Awam (APM) empat orang.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati ada mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri malah terdapat mangsa yang tercampak keluar.
Katanya, malah, ada mangsa yang masih berada dalam bas sebelum pihak bomba melakukan tugas menyelamat.
“Jentera bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 2.05 pagi di mana kemalangan membabitkan dua kenderan itu sehingga menyebabkan bas terbalik sementera kereta terbabas ke dalam parit.
“Bas dan Perodua Alza dalam laluan yang sama iaitu dalam perjalanan dari Jeli ke Gerik. Semasa jentera sampai didapati kemalangan membabitkan mangsa seramai 48 orang.
“Terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.
“Setakat ini seramai 13 mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian dan 31 orang cedera (mangsa dari bas) dan tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan seorang mangsa mengalami patah tangan (dari Perodua Alza) telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pihak bomba melakukan size up dan mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas hidraulic cutter.
“Apabila ruang kerja berjaya dilakukan didapati terdapat enam mangsa yang masih berada di dalam bas di mana dua mangsa cedera parah dan empat mangsa didapati meninggal dunia dan tidak tersepit.
“Seterusnya tindakan penyelamatan dilakukan oleh bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa keluar dari dalam bas dan diserahkan kepada pihak KKM,” katanya.
Menurutnya, mangsa -mangsa yang cedera termasuk yang berjaya keluar dengan sendiri diberi perawatan awal oleh pihak KKM yang berada di lokasi.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Mangsa yang cedera dihantar ke hospital,” katanya.- UTUSAN