Mandiri desak siasatan terhadap pegawai polis didakwa kasari peserta perhimpunan

Mandiri desak siasatan terhadap pegawai polis didakwa kasari peserta perhimpunan

mandiri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganjur perhimpunan aman Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung pada 28 Jun lalu mendesak satu siasatan dijalankan ke atas seorang pegawai polis yang didakwa mengasari aktivis mahasiswa.

Penyelaras Pusat Pembangunan Rakyat (Mandiri), Hamdin Nordin dalam satu kenyataan mendakwa, aktivis tersebut, Ahsanul Akmal didakwa telah dikasari pegawai berkenaan secara terang-terangan semasa persembahan teater sedang berlangsung.

“Tiada ancaman keselamatan, tiada unsur provokasi, melainkan tindakan simbolik yang jelas mempersoalkan kegagalan reformasi institusi dan penyalahgunaan kuasa yang semakin membarah.

“Dakwaan bahawa pihak polis hanya mahu mengambil suar (flare) adalah satu bentuk pengalihan isu yang tidak berasas dan bersifat memperbodohkan rakyat.

“Lebih menjijikkan apabila pihak polis mengambil masa lebih sejam untuk memberikan nama dan nombor pegawai yang terlibat, malah turut menuduh para peserta perhimpunan mencederakan anggota mereka.

Tuduhan liar ini hanya mengesahkan betapa pihak polis selama ini lebih cenderung mencipta naratif palsu demi menutup salah laku sendiri,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Justeru, katany, mereka menuntut supaya siasatan serta-merta terhadap pegawai polis berkenaan atas kesalahan salah guna kuasa dan tindakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan.

Mereka juga menuntut pelaksanaan segera Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sebagai satu bentuk pengawasan bebas tanpa campur tangan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia.

Turut dituntut adalah pemakaian kamera badan (bodycam) secara menyeluruh kepada semua anggota polis ketika bertugas, demi memastikan ketelusan dan menyediakan bukti yang tidak dapat disangkal dalam sebarang insiden.

“Mandiri ingin mengingatkan bahawa kuasa yang diberikan kepada pihak polis bukan satu lesen untuk bertindak sewenang-wenangnya.

“Institusi yang gagal menjalankan amanah akan hilang kepercayaan rakyat, dan kerajaan yang membiarkan penindasan berlaku akan turut dipertanggungjawabkan.

“Jika kerajaan ini benar-benar komited terhadap reformasi, maka tindakan segera dan tegas mesti diambil. Polis bukan di atas undang-undang. Mereka harus dipertanggungjawabkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN