PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menawarkan bantuan kepakaran dan latihan melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) serta program berskala besar dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik dengan Guinea-Bissau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu akan diselaraskan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Beliau berkata, pelbagai isu penting telah dibincangkan dalam pertemuan bersama Presiden Guinea-Bissau, Jeneral Umaro Sissoco Embaló meliputi kerjasama pelbagai bidang
seperti industri halal, perbankan Islam dan pelaksanaan di institusi pengajian tinggi serta sektor industri.
“Kerjasama ini termasuk bidang-bidang strategik seperti semikonduktor, minyak dan gas, serta teknologi makanan.
“Kita bersedia untuk menawarkan kepakaran serta bantuan teknikal bagi memperkukuh kapasiti Guinea-Bissau dalam bidang-bidang ini,” katanya dalam sidang akhbar bersama di sini hari ini.
Anwar berkata, lawatan rasmi sulung Embalo ke Malaysia membawa makna besar dalam membina semula hubungan dua hala yang sebelum ini agak terhad, sekali gus membuka ruang baharu untuk kerjasama serantau dan rentas benua.
“Beliau mempunyai visi yang jelas untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN, manakala kita pula melihat Guinea-Bissau sebagai rakan strategik untuk mengukuhkan kehadiran kita di Afrika Barat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia turut mengalu-alukan penglibatan syarikat-syarikat utama seperti Petronas dan FGV bagi meneroka peluang pelaburan dan kerjasama bukan sahaja di Guinea-Bissau, tetapi juga sebagai platform untuk memperluas pengaruh di Afrika.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerjasama dalam bidang halal dan kewangan Islam turut diberi keutamaan, sejajar dengan hasrat kedua-dua negara untuk membangunkan ekonomi berteraskan nilai dan prinsip Islam.
Embalo turur dihargai kerana memainkan peranan aktif di peringkat antarabangsa dan mempunyai hubungan baik dengan negara-negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Perancis, Rusia, Amerika Syarikat dan negara-negara Afrika lain.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan dasar luar berkecuali dan seimbang, pendekatan Malaysia dan ASEAN adalah selari dengan visi beliau untuk Guinea-Bissau,” kata Anwar. – UTUSAN