Malaysia kaji gubal undang-undang khusus berkaitan AI

Malaysia kaji gubal undang-undang khusus berkaitan AI

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang khusus berkaitan penggunaan dan kawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI), selaras dengan perkembangan pesat teknologi itu di peringkat global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, hasrat untuk memperhalusi aspek perundangan berkaitan AI telah disampaikan kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo bagi membolehkan satu mesyuarat bersama diadakan dalam masa terdekat.

“Cabaran terbesar kita kini adalah isu AI, terutamanya apabila teknologi ini beroperasi menggunakan format-format tertentu yang baharu dan kompleks.

“Satu jawatankuasa bersama antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Kementerian Digital wajar ditubuhkan bagi menyelaras undang-undang berkaitan AI agar ia selari dengan keperluan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Undang-Undang dan Reformasi Institusi serta Majlis Peluncuran Akademi Perundangan Negara di sini, hari ini.

Menurut Azalina, kerajaan perlu membuat kajian menyeluruh terhadap undang-undang sedia ada dan melihat bagaimana ia boleh disesuaikan dengan kemunculan teknologi baharu dalam bidang AI yang kini mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan masyarakat.

“Undang-undang perlu bersifat dinamik dan progresif. AI telah digunakan dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan kewangan, kesihatan, perundangan dan keselamatan siber. 

“Maka kita perlu sediakan rangka kawal selia yang jelas agar teknologi ini tidak disalah guna,” katanya.

Tambah beliau, BHEUU ketika ini telah menubuhkan beberapa jawatankuasa yang dipengerusikan oleh hakim-hakim berpengalaman serta hakim bersara, bagi meneliti pelbagai isu berkaitan reformasi institusi dan perkembangan ke arah digitalisasi.

“Salah satu isu utama yang sedang diberi perhatian adalah usaha ke arah pendigitalan sistem mahkamah negara.

“Kita sudah ada sistem transkripsi suara ke teks, selain pelbagai sistem dalam talian yang digunakan bagi memudahkan urusan mahkamah,” katanya.

Jelas Azalina, langkah kerajaan ini menunjukkan komitmen berterusan dalam memastikan sistem perundangan negara kekal relevan dengan peredaran zaman serta bersedia menghadapi cabaran teknologi masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN