LUNAS, STM Turkiye jalin kerjasama strategik dalam industri pertahanan

LUNAS, STM Turkiye jalin kerjasama strategik dalam industri pertahanan

Ketua Pegawai Eksekutif Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd, Ir Azhar Jumaat (kiri) menyerahkan dokumen MoU kepada Ketua Pegawai Eksekutif Savunma Teknolojileri Muhendislik ve Ticaret A.S. (STM), Ozgur Guleryuz sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarikat Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) memperkukuhkan  kedudukan sebagai pemain utama industri pertahanan negara selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat kejuruteraan pertahanan terkemuka dari Turkiye, Savunma Teknolojileri Muhendislik ve Ticaret A.S. (STM).

Kerjasama strategik itu dimeterai sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pemodenan aset ketenteraan maritim negara.

Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir. Azhar Jumaat berkata, kolaborasi bersama STM akan membuka ruang kepada pemindahan teknologi, pembangunan keupayaan tempatan serta inovasi bersama ke arah pembinaan kapal generasi masa hadapan.

“Jalinan ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan teknikal LUNAS malah meletakkan Malaysia dalam kedudukan strategik di arena pertahanan maritim global.

“Ia juga menyokong aspirasi Malaysia Madani yang menekankan daya saing, pemodenan dan penglibatan global dalam pembangunan industri negara,” katanya.

Majlis pertukaran MoU tersebut turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Presiden Agensi Industri Pertahanan Turkiye, Haluk Gorgun; Ketua Pegawai Eksekutif STM, Ozgur Guleryuz serta pengurusan kanan kedua-dua buah syarikat.

Sebagai simbolik sokongan Kerajaan Madani terhadap projek Kapal Tempur Pesisir (LCS), Perdana Menteri turut menyempurnakan upacara meletakkan Jalur Gemilang pada replika model kapal Bryks sepanjang lima meter yang dipamerkan di reruai LUNAS.

STM merupakan antara pemain global dalam industri pertahanan laut dengan kepakaran dalam pembangunan kapal selam, sistem peperangan elektronik dan teknologi pertahanan canggi.

LUNAS pula yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) kini giat mengembangkan operasinya merangkumi pembinaan dan penyelenggaraan kapal komersial, kejuruteraan berat serta aktiviti kitar semula kapal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN