Lori tangki langgar penghadang tol punca 500 liter minyak tumpah

Lori tangki langgar penghadang tol punca 500 liter minyak tumpah

BEBERAPA anggota bomba sedang menampal kebocoran pada lori tangki bagi mengelakkan berlakunya tumpahan minyak berhampiran Plaza Tol Juru di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Kira-kira 500 liter tumpahan minyak kelapa sawit dikesan susulan kebocoran lori tangki akibat terlanggar penghadang besi di Plaza Tol Juru arah utara di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.59 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota bomba termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai dibantu BBP Sungai Bakap kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kejadian itu berlaku disebabkan tumpahan minyak kelapa sawit dari sebuah lori tangki yang mengalami kebocoran pada tangki hadapan akibat terlanggar penghadang besi di laluan plaza tol.

“Bomba kemudian melakukan ‘size up’ dan anggota yang berkenaan telah bertindak melakukan kerja menutup lubang kebocoran pada tangki terbabit bagi menghentikan tumpahan minyak.

“Kerja-kerja kawalan dan pembersihan dijalankan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) BBP Sungai Bakap,” katanya.

Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan ketika ini, kerja pembersihan masih berlangsung di lokasi terbabit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN