MELAKA: Seorang lelaki warga India dihukum penjara enam tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan teman wanitanya, dua tahun lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S. Sakthivel, 30, selepas menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sewaktu kejadian di sebuah pangsapuri di Taman Kenanga Seksyen 3 dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 10.30 malam pada 24 November 2023.
Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat mengikut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Mengikut fakta kes, pengadu adalah ibu tunggal kepada tiga anak termasuk mangsa manakala tertuduh adalah teman lelakinya.
Pada tarikh kejadian, tertuduh memberitahu ingin bermalam di rumah pengadu sebelum melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di ruang tamu rumah ketika teman wanitanya sedang tidur.
Suspek turut mengugut mangsa supaya merahsiakan perkara itu sebelum dia ditangkap pada 4 Disember 2023 susulan laporan dibuat pengadu di Balai Polis Tengkera.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpa dikenakan sebagai pengajaran manakala peguam K. Shareveen yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan.-UTUSAN