TANAH MERAH: Taktik seorang lelaki Thailand menyeludup petrol menggunakan kenderaan bernombor plat tempatan terkongkar selepas dicekup sepasukan anggota dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Kelantan semalam.
Tangkapan itu dilakukan pada pukul 9.10 pagi hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta jenis Proton Waja yang dipandu suspek semasa melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, di sini.
Pengarahnya Azman Ismail berkata, pemeriksaan ke atas kereta tersebut telah menjumpai sebuah tangki yang diubahsuai untuk tujuan penyeludupan bahan bakar ke negara jiran.
“Selain itu, pihak kami turut menjumpai 80 liter petrol di dalam tangki kereta tersebut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kereta dianggarkan berjumlah RM5,164,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Azman memberitahu, suspek telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN