PETALING JAYA: Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki warga Taiwan yang maut digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Pusat Bandar Puchong, dekat sini semalam berjalan berseorangan sebelum terjatuh.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa masuk ke negara ini pada 31 Mei lalu.
“Polis dalam tindakan berhubung dengan keluarga mangsa melalui pihak kedutaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam dilaporkan, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.05 petang.
“Jentera dan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang yang ke lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Komander operasi melaporkan terdapat seorang lelaki berusia 63 tahun berada di bawah LRT dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN