LUMUT: Seorang lelaki rebah selepas menyembelih lembu korban sebelum disahkan meninggal dunia, ketika sambutan Aidiladha di Kampung Sungai Rumput, Kampung Sitiawan, dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, Radzuan Nanyan, 50, yang ditugaskan menyembelih lembu korban, dipercayai rebah sebaik sahaja menyembelih lembu ketiga yang dikorbankan di kampung tersebut.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, lelaki itu dilaporkan pengsan di kawasan padang kampung itu yang menjadi lokasi penyembelihan sebelum dibawa ke Hospital Seri Manjung (HSM) menggunakan ambulans.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit kecemasan HSM,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan terhadap arwah mendapati punca kematian adalah disebabkan serangan jantung.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) dan siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah terhadap kes itu.
Difahamkan, mangsa terlibat secara aktif dalam gotong-royong ibadah korban yang melibatkan beberapa ekor lembu di kawasan kariah berkenaan.
Dalam satu rakaman video yang tular, suasana sedih menyelubungi kawasan padang sebaik insiden itu berlaku dan penduduk kampung membantu urusan membawa mangsa ke HSM. – UTUSAN