KOTA TINGGI: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandu melanggar dua kenderaan sedang parkir dalam kejadian di Jalan Teratai, Felda Bukit Aping Barat di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.25 malam itu mangsa, Sazali Mohd Razak, 46, mengalami serangan jantung ketika memandu sebelum terbabit kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa yang memandu Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Proton Saga dipandu mangsa, Proton Wira dan van jenis Toyota Hiace yang diletakkan di kawasan parkir rumah.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa hilang kawalan dan melanggar dua kenderaan terbabit.
“Ekoran itu mayat mangsa telah dihantar ke unit forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian lelaki berkenaan akibat serangan jantung.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda hingga RM50,000 jika disabitkan kesalahan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta lebih peka ketika memandu bagi memastikan keselamatan terjamin. – UTUSAN