KUALA KRAI: Seorang lelaki ditemukan lemas semasa sedang mandi bersama sembilan rakanya di Sungai Kenerong, Dabong di sini di sini hari ini.
Dalam kejadian itu mayat mangsa berusia 47 tahun ditemukan lemas empat jam kemudian selepas mandi di sungai berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama sembilan orang rakannya keluar dari rumah di Kampung Dabong di sini untuk mandi di Sungai Kenerong.
“Setiba di lokasi, mangsa dipercayai turun terlebih dahulu untuk memeriksa kedalaman air sungai, namun dihanyutkan arus deras dan terus hilang.
“Operasi mencari dan menyelamat melibatkan tiga anggota dari Balai Polis Dabong dan 10 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Dabong digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, mayat mangsa dijumpai kira-kira pukul 4.13 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk dibedah siasat.-UTUSAN