SHAH ALAM: Laporan siasatan teknikal insiden Putra Heights dijangka siap pada hujung bulan, iaitu selewat-lewatnya 26 Jun.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan siasatan itu mengambil sedikit masa untuk disiapkan kerana perlu meneliti beberapa aspek yang mengakibatkan insiden terbabit berlaku.
“Masih ada ruang yang perlu dikenal pasti dalam siasatan seperti keutuhan paip, pergerakan tanah dan lain-lain lagi.
“Siasatan teknikal dibuat oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan (perlu) disiapkan 26 Jun ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan E-Bike oleh Menteri Besar Selangor kepada Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Menurutnya, laporan siasatan teknikal dan siasatan jenayah akan diumumkan sebaik sahaja siasatan teknikal siap.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan polis sudah melengkapkan siasatan daripada aspek jenayah termasuk kecuaian atau khianat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Petronas telah membantu pihak polis mengeluarkan spesimen yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, isu bantuan bayaran sewa rumah bagi penempatan sementara mangsa Putra Heights kini hampir selesai.
Menurutnya, isu tersebut sebelum ini tidak dapat diselesaikan disebabkan ada mangsa yang tidak memberikan dokumen yang secukupnya dan tidak memberikan nombor akaun mereka.-UTUSAN