PETALING JAYA: Terus melakar sejarah, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) secara rasmi dinobatkan sebagai filem animasi nombor satu selepas berjaya meraih kutipan mencecah RM55.1 juta sekali gus mengatasi semua karya animasi tempatan dan antarabangsa yang pernah ditayangkan di pawagam tempatan.
Dengan kutipan tertinggi dalam sejarah pawagam Malaysia bagi filem animasi, EATM2 juga berjaya mengatasi filem blockbuster dari Hollywood dan juga Asia sepanjang dua bulan ini.
Menurut Usamah Zaid Yasin selaku pengarah filem tersebut, kejayaan tersebut secara tidak langsung membuktikan keyakinan serta sokongan luar biasa penonton Malaysia terhadap naskhah animasi yang berteraskan identiti dan semangat tempatan.
“Kejayaan ini bukan milik WAU Animation semata-mata tetapi milik semua ejen-ejen yang percaya dan berdiri bersama kami sejak awal.
“Saya amat menghargai dedikasi seluruh pasukan WAU Animation yang telah mencurahkan tenaga dan kreativiti tanpa henti dalam menjayakan filem ini.
“Terima kasih juga kepada rakan produksi kami, Primeworks Studios, yang memberikan sepenuh komitmen dalam mempromosikan filem ini, malah sentiasa tampil dengan idea-idea baharu yang segar dan berani demi memastikan EATM2 terus menjadi pilihan penonton.
“Dan sudah tentu, penghargaan tertinggi buat para peminat yang menjadi tulang belakang dan sumber semangat utama kami sejak hari pertama,” katanya.
Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof berkata pencapaian luar biasa ini juga membuatkan pihaknya lebih komited menyasarkan filem animasi itu meraih kutipan sebanyak RM60 juta.
“Pencapaian ini adalah hasil kerjasama, kepercayaan dan semangat yang dikongsi bersama. Kami harap para penonton akan terus menyokong EATM2 dan bantu kami untuk mencapai sasaran kutipan seterusnya iaitu RM60 juta.
“Hanya dengan sokongan teguh anda dapat kami realisasikan impian untuk menghasilkan naskhah Ejen Ali seterusnya, demi perkembangan industri kreatif tempatan yang bakal membanggakan Malaysia,” katanya.
Daripada siri animasi di kaca televisyen ke layar perak, Ejen Ali telah berkembang menjadi sebuah francais yang matang dan berpengaruh.
Filem kedua ini bukan sahaja mengukuhkan kekuatan jenama, malah mencerminkan evolusi penceritaan animasi tempatan yang lebih berani, berdimensi dan menyentuh hati pelbagai lapisan penonton.
Untuk info, filem animasi kegemaran kanak-kanak itu juga mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 22 Mei lalu.-UTUSAN