KPDN bongkar taktik hantar minyak masak bersubsidi guna kurier

KPDN bongkar taktik hantar minyak masak bersubsidi guna kurier

S. JEGAN (kanan) memeriksa minyak peket bersubsidi yang dirampas di gudang kurier di Sungai Puyu, Butterworth, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya membongkar taktik pemborong yang mengedarkan minyak masak peket menggunakan kurier dalam satu serbuan di sebuah gudang kurier di Kampung Sungai Puyu di sini, lewat petang tadi.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 petang itu, sebanyak 14,280 peket minyak masak polibeg satu kilogram (kg) yang disimpan di dalam gudang terbabit berjaya dirampas.

Beliau berkata, selain itu, sebuah lori turut disita bersama beberapa dokumen berkaitan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dalam serbuan sempena Ops Tiris 3.0 itu bernilai RM204,500.

“Siasatan awal mendapati, pemborong menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar minyak masak bersubsidi itu dalam jumlah yang besar ke sebuah alamat di Perlis sejak tiga bulan yang lalu.

“Kita percaya bahawa bekalan minyak masak ini juga akan dihantar ke sempadan untuk diseludup ke negara jiran. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan buat masa ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Jegan, seorang pemandu lori yang berusia 60-an turut ditahan bagi membantu siasatan selepas individu terbabit gagal untuk mengemukakan dokumen berkaitan lesen atau permit untuk memiliki dan menguruskan barang kawalan berjadual seperti yang diwajibkan mengikut undang-undang.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya turut meminta agar orang ramai melaporkan kepada KPDN sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyimpanan barangan kawalan terutamanya dalam jumlah yang besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN