PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembangunan Kota Madani dijadikan contoh pembangunan bandar di seluruh negara, yang tidak hanya ditentukan oleh kehendak pemaju semata-mata.
Perdana Menteri berkata, sebaliknya sebarang pembangunan bandar dirancang dengan pendekatan menyeluruh demi memenuhi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu berhenti bergantung sepenuhnya kepada cadangan pemaju, namun perlu memainkan peranan utama dalam perancangan bandar yang memberi tumpuan kepada aspek budaya, nilai kemanusiaan dan kesejahteraan hidup.
“Kepesatan dan kelajuan pembangunan Kota Madani ini sendiri membuktikan bahawa projek sebesar ini boleh dilaksanakan secara terancang dan menyeluruh.
“Asalkan semua pihak berkaitan seperti Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan pemilik tanah kerajaan bekerjasama serta mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota Madani di Presint 19 di sini hari ini.
Anwar berkata, perancangan bandar tidak harus hanya berfokus kepada keuntungan, sebaliknya perlu memenuhi keperluan rakyat termasuk penjawat awam.
“Penjawat awam tidak boleh menunggu lima tahun untuk perumahan. Kita mesti percepatkan. Kalau sambutan baik dan prosesnya lancar, saya sendiri akan pastikan ia dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk disegerakan,” katanya.
Menurut beliau, Kementerian Pendidikan juga telah memberikan kelulusan segera bagi pembangunan sekolah di kawasan projek, termasuk cadangan sekolah menegak (vertical school) di kawasan padat.
“Sekolah ini tidak perlu semewah seperti di kawasan elit, tetapi cukup dengan reka bentuk selesa dan praktikal. Sekolah yang dirancang di Kota Madani ini antara reka bentuk terbaik pernah saya lihat,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan kota bukan sahaja perlu maju dari segi fizikal dan teknologi, tetapi juga sarat dengan nilai budaya dan rohani.
Jelasnya, kota yang hebat bukan sekadar bangunan pencakar langit, tetapi mesti melambangkan kekuatan budaya dan sejarah. Kota moden yang ‘gersang’ budaya tidak dapat membina semangat kebersamaan, nilai asabiyah dan jati diri masyarakat.
Katanya, perancangan Kota Madani turut mengambil kira keselesaan dan keselamatan penduduk, termasuk penyediaan laluan pejalan kaki ke sekolah, masjid, tadika, dewan komuniti dan tempat kerja.
“Bayangkan seorang ibu bapa dengan tiga anak kecil, semuanya boleh ke sekolah atau tadika hanya dengan berjalan kaki dari rumah. Itulah kota madani yang kita bayangkan – selamat, efisien dan penuh nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau juga menegaskan pentingnya memberi perhatian kepada kelompok majoriti rakyat.
“Kita boleh bina menara, tapi jangan lupa gerai dan warung yang menjadi tempat makan 80 peratus rakyat Malaysia. Kalau kita boleh bina Merdeka 118, kenapa gerai dan warung kita tidak dibangunkan dengan baik di sekitar Kuala Lumpur? soalnya.
Projek Pembangunan Kota Madani yang dibina dengan kos RM4 bilion merupakan pembangunan bersepadu berskala besar yang dirancang bagi mengimbangi keperluan penjawat awam, pembangunan bandar mampan serta kemajuan teknologi.
Projek itu tampil sebagai penyelesaian masalah kekurangan kuarters kediaman menyediakan 10,000 unit kediaman kuarters selain mampu menampung sehingga 35,000 penduduk.
Kota Madani turut menyediakan kemudahan awam menyeluruh termasuk sekolah bertingkat berkonsepkan bandar padat, rumah warga emas, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid dan institusi kewangan.
Pembangunan kota itu akan dilaksanakan oleh Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. secara berfasa di mana fasa 1 melibatkan pembinaan hampir 3,000 unit kediaman dan dijangka siap pada suku keempat 2027.
Selain itu, fasa 1B pula merangkumi pembinaan sekolah bertingkat dijangka siap menjelang suku keempat 2028.
Seluru projek pula dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh tahun. – UTUSAN