PUTRAJAYA: Projek pembangunan Kota Madani di Presint 19, di sini akan memenuhi kekurangan kira-kira 12,000 unit kuarters yang sedang ditunggu oleh penjawat awam.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, projek itu akan bermula dengan 3,000 unit kuarters dalam fasa pertama, sebagai sebahagian daripada sasaran keseluruhan 10,000 unit yang akan dibina di kota itu.
“Ini adalah satu projek yang amat baik untuk penjawat awam. Saya selaku ketua kepada penjawat awam merakamkan setinggi terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana bersetuju membina kuarters kakitangan awam.
“Ia mampu meringankan beban penjawat awam sekali gus meningkatkan produktiviti kerja,” katanya kepada media selepas majlis peluncuran projek pembangunan Kota Madani yang disempurkan Anwar, di sini hari ini.
Shamsul Azri berkata, reka bentuk Kota Madani yang menggabungkan konsep ‘vertical school’ dan kemudahan awam berdekatan bakal memberikan impak besar kepada penjimatan kos sara hidup dan meningkatkan kualiti hidup penjawat awam.
“Dengan semua kemudahan dalam jarak berjalan kaki dari rumah, penjawat awam dapat berjimat dari segi minyak dan masa. Jiwa pun lebih tenang kerana anak di tingkat bawah, ibu bapa di tingkat atas,” katanya.
Shamsul Azri berkata beliau yakin inisiatif itu akan memberi kesan positif bukan sahaja terhadap kebajikan keluarga penjawat awam tetapi juga kepada mutu perkhidmatan awam negara. – UTUSAN