PETALING JAYA: Meskipun sudah mengesahkan hanya rakan sekerja, kisah pelakon, Fattah Amin bersama penyanyi, Amira Othman terus menuai perhatian dalam kalangan warganet.
Jika sebelum ini, aktor itu sekadar menghantar sejambak bunga tulip yang berwarna warni sebagai tanda prihatin dan berharap agar Amira cepat sembuh dari keracunan makanan.
Namun, kali ini hari penyanyi lagu Hati-Hati itu sekali lagi diserikan dengan jambakan bunga mawar berwarna merah jambu dan ungu.
Bukan satu, tetapi dua jambak bunga sekali gus mencetuskan tanda tanya apakah sebenarnya status hubungan kedua-dua selebriti itu? Benarkah hanya sekadar teman sekerja?
“Terima kasih abang long (Fattah). Abang long kalian paling manis. Lain hari lain bunga katanya,” kata Amira menerusi sebuah hantaran di Instagram Story diiringi lagu Sampai Akhir nyanyian Judika.
Lebih mencuri perhatian, Fattah dalam hantaran terkininya turut mengundang spekulasi selepas meminta pandangan warna bunga yang perlu dibelinya nanti.
“Hari ini nak beli bunga warna apa eh?” tulisnya spontan di kapsyen.
Tidak lagi berselindung, sikap terbuka Fattah dan Amira saling berkongsi kemesraan di media sosial seolah menguatkan lagi dakwaan bahawa hubungan mereka bukanlah sekadar teman sekerja.
Menjengah ke ruangan komen, perkongsian tersebut turut dihujani dengan usikan netizen yang rata-ratanya mahu Fattah meneruskan usahanya untuk menambat hati Amira.
“Dari beli bunga, baik beli kebunnya. Dari beri bunga, baik pinang orangnya,” komen seorang netizen.
“Mudah-mudahan makin cepatlah Amira keluar hospital sebab gembira dapat bunga hari-hari,” kata seorang pengguna media sosial.
“Terus petik ‘bunga’ (Amira) di taman rumah Datuk Othman di Johor Bahru Fattah,” tulis seorang lagi netizen.-UTUSAN