Kesuma nafi halang wakil pekerja sertai delegasi ke ILC

Kesuma nafi halang wakil pekerja sertai delegasi ke ILC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) nafi menghalang wakil pekerja dari Malaysia daripada menyertai delegasi ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland.

Kesuma berkata, hal tersebut disebabkan kerana ketiadaan barisan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang juga merupakan organisasi induk kesatuan sekerja terbesar di Malaysia.

Jelasnya, penangguhan pemilihan MTUC ke 10 Ogos ini menyebabkan organisasi itu tidak mempunyai kepemimpinan yang sah bagi mewakili pekerja dalam mana-mana platform rasmi termasuk ILC.

“Jawatankuasa Bersama Khas (JBK) telah ditubuhkan khusus untuk mengendalikan pemilihan semula MTUC dan tidak mempunyai mandat untuk membuat keputusan dasar atau mencalonkan nama bagi mewakili pekerja ke forum antarabangsa.

Malah, pencalonan nama oleh JBK ke ILC adalah di luar bidang kuasa yang diberikan oleh mahkamah dan telah dibantah sendiri oleh beberapa ahli gabungan MTUC,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, Kesuma turut menegaskan bahawa pemilihan delegasi Malaysia ke ILC dibuat secara telus berpandukan garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai status semasa MTUC.

Oleh itu, katanya, sebarang dakwaan bahawa kerajaan sengaja menyekat penyertaan wakil pekerja adalah tidak berasas, mengelirukan dan berniat jahat.

“Kerajaan kekal komited kepada prinsip tripartisme dan mendukung hak penyertaan kesatuan sekerja yang sah dalam semua platform antarabangsa.

“Kesuma menyeru agar proses pemilihan semula MTUC diselesaikan segera demi menjaga maruah pergerakan kesatuan sekerja dan memastikan penyertaan lengkap Malaysia ke ILC tahun hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN