LENGGONG: Perak melihat kestabilan politik sebagai antara kunci utama bagi menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030 yang sudah genap tiga tahun dilancarkan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengharapkan tiada mana-mana pihak, ahli politik serta pembangkang membuat tindakan sabotaj yang menggugat negeri ini.
Katanya, pelabur akan menjadikan kestabilan politik dan kerajaan sebagai ukuran mereka sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan di sesebuah negeri atau negara.
“Setiap lima tahun akan ada pilihan raya. Tetapi jangan kita sabotaj antara satu sama lain. Jangan membuat fitnah sehingga membuatkan pelabur takut.
“Sama ada kerajaan atau pembangkang, kena mesra pelabur. Kalau pembangkang menjadi kerajaan pun, dia kena mesra dengan pelabur. Saya ingatkan rakan-rakan saya termasuk pembangkang, kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan sabotaj atau menggambarkan suasana tidak stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas majlis pembentangan laporan kemajuan tahun ketiga Perak Sejahtera 2030 di sini hari ini.
Mengenai tahap kepuasannya tentang pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030, Saarani tidak mahu mengambil sikap berpuas hati, namun bersyukur kerana apa yang dirangka dapat dicapai.
“Kita kena sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan banyak situasi yang tidak menentu,” katanya.
Saarani berkata, Perak Sejahtera 203 dilancarkan pada 15 Jun 2022 bagi memulihkan sosiekonomi negeri pasca pandemik Covid-19. – UTUSAN