PETALING JAYA: Kenderaan yang dipercayai terbabit dalam kes penculikan isteri ahli perniagaan, Datin Seri Pamela Ling sejak 9 April lalu didakwa ditinggalkan berhampiran kawasan sempadan Thailand.
Peguam keluarga Pamela, Sangeet Kaur Deo berkata, wanita itu dikatakan hilang selepas kereta e-hailing yang dinaikinya tiba berhampiran bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kemudian didatangi tiga individu tidak dikenali.
Katanya, pemandu e-hailing terbabit telah membuat laporan polis dan mendakwa bahawa Pamela ‘dibawa pergi’ oleh ketiga-tiga individu berkenaan yang dipercayai menyamar sebagai anggota polis.
“Siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta pengecaman nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan kumpulan terbabit mendapati nombor tersebut adalah palsu dan dipercayai digunakan secara terancang untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Namun beberapa minggu selepas itu, tiada sebarang perkembangan lanjut dimaklumkan kepada keluarga, termasuk keputusan ujian forensik terhadap barangan yang ditemukan dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sangeet turut mempersoalkan tindakan pihak berkuasa yang masih belum mengaktifkan sebarang pengesanan rentas sempadan menerusi Polis Antarabangsa (INTERPOL) sekiranya wujud kemungkinan bahawa Pamela telah meninggalkan negara ini.
“Kali terakhir keluarga menerima maklumat adalah beberapa minggu lalu. Persoalannya kini, apa yang sedang ditunggu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)?
“Adakah PDRM mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam kes-kes kehilangan manusia seperti ini?” soalnya.
Beliau turut menzahirkan kekecewaan terhadap pendekatan PDRM yang didakwa terlalu berdiam diri serta lambat dalam memberi maklumat kepada pihak keluarga sepanjang siasatan berlangsung.
“Siasatan setakat ini telah melibatkan rakaman kenyataan daripada 47 individu, namun sehingga kini PDRM masih belum memperoleh sebarang petunjuk kukuh.
“Ini menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli keluarga. Adakah pihak polis benar-benar berusaha menyiasat kes ini dengan bersungguh-sungguh?” katanya. – UTUSAN