Kerajaan setuju perluas fungsi NSRC untuk kekang jenayah siber

Kerajaan setuju perluas fungsi NSRC untuk kekang jenayah siber

FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju untuk memperluaskan fungsi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) supaya merangkumi semua bentuk jenayah siber di negara yang merekodkan hampir 4.7 bilion cubaan penipuan sejak 2022.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi kerajaan bagi membanteras jenayah siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu diambil susulan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikannya tengah hari tadi bagi meneliti langkah segera memperkukuh NSRC.

Katanya, pada mesyuarat itu, pihaknya dimaklumkan bahawa hampir 4.7 bilion percubaan penipuan dalam talian direkodkan sejak 2022. 

“Ini satu angka yang membimbangkan dan menuntut tindakan tegas serta bersepadu.

“Atas keperluan ini, kerajaan bersetuju untuk memperluas skop fungsi NSRC agar merangkumi semua bentuk jenayah siber, di samping menubuhkan rangkaian respons 24 jam yang digerakkan secara menyeluruh oleh pelbagai agensi kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, pengukuhan NSRC juga akan dilaksanakan menerusi gabungan kepakaran tempatan, penyelarasan rentas agensi dan pertambahan sumber manusia. 

Katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyegerakan pelaksanaan struktur baharu NSRC, 

“Ia termasuk memperjelas peranannya agar mudah difahami dan diakses oleh rakyat. Pendekatan ‘no wrong door’ turut diguna pakai bagi memudahkan proses aduan dan bantuan.

“Saya menggesa semua agensi untuk bertindak lebih proaktif dan berpandangan jauh dalam memberikan perlindungan menyeluruh kepada rakyat. 

“Pada masa sama, kesiapsiagaan benteng siber negara mesti terus dipertingkat baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN