GEORGE TOWN : Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan bersama pengusaha vape sebelum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan pengharaman penggunaan serta penjualan rokok elektronik itu di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ketika ini, pihaknya telah menerima surat daripada pengusaha-pengusaha industri vape yang menyatakan hasrat mereka untuk memberi penerangan berhubung perkembangan industri tersebut.
“Kita ada terima surat dari pengusaha vape yang ingin peluang untuk menerangkan industri ini. Jadi, kita akan beri peluang kepada mereka untuk beri penerangan (terlebih dahulu)
“Baru-baru ini juga saya telah meminta Exco yang berkaitan untuk mengadakan pertemuan dengan pengusaha vape terlebih dahulu (membincangkan perkara ini).
“Kita mahu mendengar sendiri penjelasan mereka, memandangkan mereka juga menyuarakan kebimbangan sekiranya vape diharamkan, aktiviti itu berisiko beralih ke pasaran bawah tanah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow menghadiri majlis pelancaran Penang Discovery Day 2025 serta Penang GBS Industry Academy (PGIA) 2.0.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi memaklumkan, Pulau Pinang sedang mempertimbangkan kemungkinan melaksanakan larangan penjualan vape di seluruh negeri mulai tahun depan sekiranya penguatkuasaan di bawah undang-undang kawalan merokok yang baharu ini tidak berkesan.
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober tahun lalu, bertujuan memperkukuh peraturan mengenai penjualan, pengiklanan dan promosi semua produk merokok termasuk rokok elektronik dan vape di seluruh Malaysia.
Akta ini memberi tumpuan khusus kepada individu di bawah umur 18 tahun, melarang mereka daripada menjual, membeli atau menggunakan sebarang produk merokok melalui apa jua cara.
Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri menyedari bahawa beberapa negeri lain juga sedang meneliti isu berkaitan vape ini, malah, ada yang sudah lama menguatkuasakan pengharaman. Bagaimanapun, katanya, impak daripada tindakan tersebut masih lagi dalam proses penelitian.
“Kita tahu isu ini melibatkan pelbagai faktor seperti kesihatan, penggunaan tidak bertanggungjawab, dan kesan sosial. Namun begitu, pengharaman semata-mata tidak semestinya dapat menghapuskan masalah sosial yang berkaitan. Malah, ia mungkin hanya akan menyebabkan kegiatan ini dijalankan secara bawah tanah,” katanya.
Tambah Kon Yeow, kerajaan negeri akan meneliti semua aspek secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan agar tidak menjejaskan mana-mana pihak. – UTUSAN