KOTA BHARU: Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan sah mempertahankan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat pada pemilihan sempena Muktamar Pas ke-71 di Alor Setar, Kedah pada 15 dan 16 September ini.
Beliau bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada perwakilan untuk membuat keputusan sama ada masih layak kekal untuk menggalas tanggungjawab tersebut.
“Sama ada saya terpilih atau tidak terpulang kepada perwakilan kerana bagi saya, keputusan mereka adalah yang terbaik. Tambahan pula saya sudah bertugas sebagai AJK Pas Pusat sejak tahun 2015 lagi.
“Kalau saya terpilih maknanya saya kena buat kerja tetapi jika tidak terpilih pun saya tetap buat kerja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohamad Fadzli memberitahu, Pas mempunyai ramai ahli yang memiliki kepakaran serta kemampuan untuk ditonjolkan sebagai pemimpin pada masa hadapan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Mohamed Fadzli belum memutuskan sama ada akan menawarkan diri bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat pada Muktamar Tahunan Pas Ke-71 di Kedah bulan depan.
Katanya, beliau mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat keputusan kerana mahu meneliti kesesuaian tugasnya sebagai pentadbir negeri dengan amanah besar di peringkat pusat. – UTUSAN










