Kerajaan perlu tangguh laksana sistem kawalan petrol subsidi - PDAM

Kerajaan perlu tangguh laksana sistem kawalan petrol subsidi – PDAM

Kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) sehingga dua isu kritikal membabitkannya diselesaikan. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Subsidi (SKPS) sehingga dua isu kritikal membabitkannya diselesaikan.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, dua isu tersebut melibatkan margin di bawah mekanisme harga automatik (APM) dan kadar caj diskaun pedagang (MDR) yang dikenakan syarikat kad pembayaran.

Katanya, margin APM sejak 2019 tidak mencerminkan kos semasa menyebabkan pengusaha kecil dan sederhana berdepan kerugian sejak hari pertama pelaksanaan SKPS.

“Selain itu kerajaan perlu melihat kepada isu MDR berdasarkan nilai jualan, manakala komisen pengusaha berdasarkan liter.

“Peningkatan harga pam akan meningkatkan MDR, tetapi tidak meningkatkan komisen sehingga menghakis margin pengusaha,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 menegaskan, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan 85 peratus rakyat Malaysia.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, langkah itu dijangka dapat menjimatkan antara RM7.2 bilion hingga RM7.5 bilion setahun, hampir dua kali ganda daripada jangkaan awal.

Dalam pada itu, Khairul Anuar berharap, pihaknya dapat mengadakan pertemuan dengan Anwar selepas usaha untuk berbuat demikian sejak dua tahun gagal.

“Kami percaya hanya melalui kepimpinan langsung Perdana Menteri, penyelesaian konkrit dapat dicapai demi memastikan kelangsungan industri pengusaha tempatan dan jaminan bekalan bahan api kepada rakyat,” katanya,

Menurut Khairul Annuar lagi, petisyen industri yang dijalankan PDAM baru-baru ini telah memperoleh lebih 2,300 tandatangan, menunjukkan sokongan luas dalam kalangan pengusaha.

Jelasnya, PDAM mewakili lebih 60 peratus stesen minyak di seluruh negara termasuk hampir 70 peratus stesen jenama utama dan buat pertama kalinya turut disertai pengusaha jenama tempatan seperti Five Petroleum, BuraqOil dan SmartStream.

“Sebagai satu-satunya persatuan yang mewakili industri ini selama lebih 40 tahun, kami kekal komited kepada prinsip kerjasama dan keterbukaan.

“PDAM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan kepentingan industri ini secara menyeluruh dan berasaskan fakta, tanpa mengelirukan orang ramai atau mempolitikkan isu sensitif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN