Kerajaan cadang tubuh Suruhanjaya TVET Negara

Kerajaan cadang tubuh Suruhanjaya TVET Negara

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2025 di MITC, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/ARIF HAMIZAN MISKON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara akan ditubuhkan selaras dengan perkembangan pesat bidang itu di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, suruhanjaya itu merupakan keperluan memandangkan berlaku perubahan mendadak berikutan pertambahan jumlah pelajar dalam bidang itu termasuk jenis latihan.

Beliau berkata, ia turut dibincangkan pada Mesyuarat Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Anwar berkata, Kementerian Kewangan akan meneliti semua kemudahan TVET untuk diberikan keutamaan bagi memastikan kelengkapan adalah mencukupi, di samping mengadakan sinergi dengan syarikat milik kerajaan dan swasta.

“Sebab itu tugas Majlis TVET Negara jika suruhanjaya diluluskan adalah ke arah agenda transformasi TVET yang telah dimulakan dengan baik dan meyakinkan yang perlu diberikan keutamaan.

“Selain itu kerajaan juga bercadang untuk menaikkan gaji minimum lulusan TVET sebanyak RM3,000 sebagai permulaan supaya kepakaran mereka diterima oleh syarikat-syarikat multinasional dan syarikat tempatan.

“Ahmad Zahid dalam Mesyuarat Jemaah Menteri tidak bersetuju gaji minimum lulusan TVET sebanyak RM1,700 jika peluang pekerjaan mencecah 98 peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Tambah Anwar, kerajaan turut menambah peruntukan sebanyak RM40 juta bagi bidang baharu keusahawanan yang diberi tumpuan kepada lulusan TVET selepas menamatkan pengajian.

Menurutnya, ia perlu diberikan fokus dengan kerjasama beberapa syarikat seperti Petronas, Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) termasuk swasta.

“Majlis TVET Negara akan mengadakan mesyuarat secepat mungkin untuk membincangkan mengenai bidang keusahawanan untuk melatih lulusan ini serta mewujudkan sinergi dengan syarikat-syarikat milik kerajaan dan swasta,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN