Kerajaan bimbang peningkatan ancaman siber terhadap kanak-kanak - Utusan Malaysia

Kerajaan bimbang peningkatan ancaman siber terhadap kanak-kanak

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes ancaman siber terhadap golongan kanak-kanak dan pelajar di negara ini mendatangkan kebimbangan kepada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, ancaman siber bukan sahaja menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak tetapi turut membawa kepada insiden membimbangkan seperti eksploitasi seksual, buli siber dan pencerobohan privasi.

Menurut beliau, laporan yang dikeluarkan badan antarabangsa mendedahkan bahawa sebanyak empat peratus remaja di Malaysia yang berusia antara 12 hingga 17 tahun menjadi mangsa eksploitasi dan penyalahgunaan seksual dalam talian untuk tempoh setahun.

Jelasnya, laporan tersebut membawa maksud bahawa empat orang daripada 100 orang kanak-kanak di negara ini akan menjadi mangsa.

“Kajian oleh CyberSecurity Malaysia (CSM) juga mendapati bahawa 27 peratus murid yang terlibat dalam kajian tersebut mengakui pernah dibuli secara dalam talian, dan 13 peratus pula mengaku pernah membuli orang lain.

“Inilah keadaan yang sedang berlaku di persekitaran kita dan tentunya amat-amat membimbangkan terutama kepada saya selaku seorang ibu, apatah lagi selaku seorang menteri yang bertanggungjawab terhadap lebih dua juta rakyat di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Peluncuran Program CyberSAFE in Schools di Dewan Swami Vivekananda, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Thamboosamy Pillai, di sini.

Mengulas mengenai program, Zaliha berkata, CyberSAFE in School adalah sangat signifikan dan tepat pada masanya kerana ia menjadikan pendidikan keselamatan siber sebagai sebahagian daripada pembangunan komuniti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN