PUTRAJAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan memutuskan satu fatwa Selangor yang mengisytiharkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap Sisters in Islam (SIS) Forum Malaysia akan diteliti secara menyeluruh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, langkah itu bagi memastikan kedudukan dan kewibawaan institusi fatwa tidak terjejas dalam jangka panjang.
Tegasnya, fatwa tetap memainkan peranan penting dalam membimbing umat Islam dalam isu-isu semasa yang memerlukan panduan syariah.
“Maka itu, kerjasama erat antara institusi kehakiman, perundangan dan pihak berkuasa agama amat penting agar fungsi dan kewibawaan institusi fatwa kekal dihormati dalam kerangka sistem perlembagaan negara kita.
“Kerajaan akan memastikan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia dilaksanakan secara adil dan berlandaskan prinsip syura, ilmu serta berpaksikan lunas undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Na’im berkata, beliau mengambil maklum keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan yang memihak kepada pertubuhan Sisters In Islam (SIS) Forum Malaysia dalam cabaran terhadap fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 17 Julai 2014.
“Sebagai Menteri Agama, saya menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kehakiman dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebagai institusi kehakiman tertinggi dalam sistem perundangan negara.
“Pada masa sama, kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan institusi agama Islam selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan,” jelasnya.
Hari ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan dikemukakan SIS Forum dan pengasasnya, Datin Paduka Zainah Mahfoozah Anwar berhubung pertikaian keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor.
Keputusan itu sebelum ini mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng ajaran Islam sebenar yang dikeluar dan diwartakan 11 tahun lalu, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Mahkamah Persekutuan memutuskan perkataan ‘orang yang menganut agama Islam’ yang diguna pakai dalam fatwa itu hanya boleh merujuk kepada orang sebenar dan bukan orang buatan seperti syarikat. – UTUSAN