MELAKA: Beberapa langganan produk Agrobank mencatatkan peningkatan melebihi 100 peratus sejak kempen Mega Million diperkenalkan pada Oktober 2023.
Ketua Pegawai Operasinya, Zahid Ahmad Zawawi berkata, antara produk yang menunjukkan peningkatan langganan seperti takaful, penulisan wasiat dan pembiayaan Ar-Rahnu.
Tambah beliau, kelulusan pembiayaan peribadi bagi produk AgroCash-i telah melebihi RM1 bilion.
“Kami melihat peningkatan positif untuk produk-produk Agrobank sejak kempen ini berlangsung. Sebagai contoh, produk takaful telah menunjukkan peningkatan langganan sebanyak 116 peratus, penulisan wasiat (114 peratus) dan pembiayaan Ar-Rahnu (177 peratus).
“Kami yakin inisiatif seperti ini merancakkan lagi usaha untuk mempromosi pelbagai produk yang ditawarkan oleh Agrobank di pasaran sekali gus menggalakkan budaya menyimpan dalam kalangan rakyat untuk menjamin masa depan mereka dan membina kehidupan lebih baik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Hadiah Kempen Mega Million 2.0 Pusingan Satu dan Dua di sini, semalam.
Kempen Mega Million 2.0 yang bermula 1 November tahun lalu akan berlangsung sehingga 31 Oktober depan dan menawarkan hadiah berupa sebuah kereta iaitu Mitsubishi Xpander, Proton S70 atau Perodua Myvi kepada setiap pemenang bulanan manakala hadiah cabutan utama sebuah Ford Ranger Raptor.
Pemenang Kempen Mega Million 2.0 bagi Disember 2024 dan Februari iaitu Kang Boon Hui dari Pasir Panjang, Negeri Sembilan dan Tempawan Md. Isa dari Batu Gajah, Perak masing-masing membawa pulang sebuah Mitsubishi Xpander.
Sementara itu, pemenang November 2024 dan Mac iaitu Mohd. Aspar Sulaiman serta Ng Kar Hoe menerima hadiah Proton S70 manakala Wong Kiet Ing dan Arsyad Sakka yang merupakan pemenang Januari dan April menerima sebuah Perodua Myvi.Pada majlis itu Agrobank turut mengadakan hari bertemu pelanggan FUNancial Day di 40 cawangan terpilih.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah klinik kewangan, kelulusan segera bagi produk pembiayaan dan cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.-UTUSAN