BAYANGKAN, hari ini anda berjalan di gigi pantai dengan cuaca begitu terik. Beberapa langkah, tekak anda mula terasa kering. Sepanjang pantai itu, hanya ada satu kedai sahaja yang buka, itupun menjual ais krim.
Anda makan ais krim itu, rasanya tawar- tidak lemak, tak berkrim. Teksturnya bergentel- tidak diadun sebati. Tapi anda telan sahaja kerana terlanjur beli, lagi pula satu-satunya nikmat yang boleh dirasa di tengah bahang mentari adalah makan ais krim.
Ya, begitulah perasaan sepanjang dua jam 17 minit di bangku penonton menyaksikan sebuah filem ikonik superhero negara, Keluang Man.
Sutradara, Anwari Ashraf yang lahir penghujung 80-an mungkin berpandangan Keluang Man bukan hanya tentang sebuah adiwira, tapi sebuah karakter yang merakam zaman.
Maka, Anwari dan pasukan penulis skripnya mempersembahkan Keluang Man dengan gaya komikal dan deretan nostalgia popular yang terjadi dalam industri seni Malaysia (kerana tidak menyentuh sisi lain, seperti Malaysia di ambang alaf baru) memetik animasi Keluang Man dilahirkan pada hujung 90-an sehingga 2005.
Nostalgia adalah satu perasaan ingin pulang, rasa rindu kepada suatu tempat atau keadaan yang tidak mungkin kita kembali. Seperti diri kita di hari-hari semalam. Seperti hangatnya masa-masa silam. Seperti memori Akademi Fantasia, KRU, Maria Mariana, Awie, Amy Mastura, Roda Impian yang dijadikan ‘perisa’ dalam filem ini.
Saya berpandangan, Anwari dan pasukannya terlalu memberi fokus kepada perisa dan perhiasan tanpa memikirkan bahan utamanya iaitu perjalanan adiwira seorang Keluang Man. Deretan nostalgia sepatutnya bukanlah dihadirkan sekadar ‘tampal-tampal’, mereka perlu menunjukkan mengapa nostalgia ini penting untuk mengukuhkan plot cerita, bukan memikirkan selera pembuatnya sahaja.
Mengapa seorang Borhan hanya mendengar suara seorang lelaki yang juga seorang deejay Halim Othman di kepalanya? Mengapa lagu KRU, Tragedi Oktober dipilih? Mengapa sekumpulan keluarga makan burger dan ada Amy Mastura zaman muda ditayangkan di televisyen? Semua ini hanya akan relevan jika zaman 90-an memang dipilih sebagai latar perjalanan filem.
Mungkin juga Borhan menjadi pelupa, satu-satunya yang dia ingat ialah dirinya di era 90-an yang mencintai Halim Othman dan Roda Impian. Atau ada poster Awie dan filem Maria Mariana kerap dilihat di papan iklan selekoh jalan. Dengan ini, ia relevan dan lawak-lawak yang dihadirkan tidak hanya bersifat eksklusif atau fan service sahaja untuk anak-anak membesar di era itu.
Namun yang lebih mustahak, yang membuatkan saya sangat terkilan adalah Keluang Man gagal mengeluarkan roh dan semangat seorang adiwira. Jalan ceritanya juga tidak jelas, Ayah Man mungkin hanya mahu jadi kaya, dunia tidak huru-hara walaupun dia menjual senjata. Anak kecil dan mak cik berpistol, tapi tidak bertembak sesama sendiri. Okay-okay sahaja. Mengapa kita perlu seorang wira?
Mengapa Keluang Man dianggap hero? Apa buktinya? Sekadar tanda pagar Orang Keluang dan laporan berita. Itu sahaja? Saya fikir ‘kita enjoy’ adalah tagline Keluang Man. Rupanya bukan. Kini, tiada apa-apa yang saya ingat dan bawa keluar daripada Borhan atau Keluang Man selain kekecewaan lakonan Nas T yang itu-itu sahaja.
Bayangkan, anda keluar dari panggung selepas menonton sebuah filem adiwira begitu ikonik bernama Keluang Man.
Tapi, yang anda ingat hanyalah lagu Dambaan Pilu dan nostalgia tampal-tampal kerana itulah satu-satunya talian hayat yang diharap boleh menjual filem. – MINGGUAN MALAYSIA