Kelindan lori didakwa gigit, tumbuk anggota polis

Kelindan lori didakwa gigit, tumbuk anggota polis

S.R AINGARAN (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang hari ini bagi didakwa menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis, Ahad lalu.-UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis di sini, Ahad lalu.

Tertuduh, S.R. Aingaran, 19, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nurul Suhaila Bahrain.

Bagaimanapun, mahkamah menolak pengakuan bersalah itu selepas tertuduh dikatakan gagal untuk mengecam gambar-gambar kejadian yang dijadikan fakta kes tersebut.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada anggota polis terbabit di Pos Pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 22 Jun lalu, kira-kira pukul 9.40 malam.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sebanyak RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lau Shavin manakala tertuduh diwakili oleh peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S. Bommy.

Mengikut fakta kes, semasa anggota polis itu berada di pos pengawal, dia telah menahan dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan termasuk mabuk sebelum membawa kedua-dua suspek masuk ke dalam pos pengawal untuk pemeriksaan lanjut.

Kemudian, salah seorang daripada lelaki berkenaan iaitu suspek telah menumbuk pipi dan menggigit dada anggota polis tersebut sehingga menyebabkan mangsa mengalami cedera bengkak di pipi dan lebam di dada.

Selepas mahkamah menolak pengakuan tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya kemudiannya menawarkan wang jaminan berjumlah RM5,000 kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan keluarga mangsa.

Sebutan kes kemudian ditetapkan pada 21 Julai depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN