KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan melalui Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) menyediakan bantuan kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, bantuan daripada YAKIN ditumpukan kepada lulusan SPM yang tidak menerima apa-apa sumbangan daripada mana-mana agensi kerajaan lain.
“Sebabnya kita tidak boleh memberi dua bantuan pendidikan daripada dua agensi kerajaan berbeza. Jadi calon-calon cemerlang SPM yang tidak dapat bantuan daripada mana-mana agensi boleh memohon bantuan YAKIN dengan pergi sendiri ke bangunan agensi itu di Jalan Gajah Mati, Kota Bharu.
“Kita menyediakan peruntukan sebanyak RM25 juta setahun bagi membantu pelajar-pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti sama ada di dalam atau luar negara. Bantuan turut merangkumi pelajar-pelajar bukan Islam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Tunjong, di sini hari ini.
Wan Roslan memberitahu, tahun ini kerajaan negeri membelanjakan hampir RM1 juta untuk menyediakan sumbangan RM500 kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan 9A ke atas dalam peperiksaan SPM serta Mumtaz dalam Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), selain 4 A ke atas bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).
“Bantuan ini turut merangkumi rakyat Kelantan yang berada di luar negeri ini, orang dari luar Kelantan yang mengambil peperiksaan di negeri ini. Jumlah memohon bantuan YAKIN setakat ini adalah 1,097 orang tidak termasuk calon STPM.
“Kita masih membuka permohonan untuk calon-calon STPM yang baru mendapat keputusan masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN