ARAU: Kekalahan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dalam pemilihan jawatan Yang Dipertua Pas kawasan Arau semalam memberi kesedaran dan ruang kepada beliau bermuhasabah dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan negeri dan anggota parti.
Beliau berharap barisan kepimpinan baharu kawasan akan terus memperkukuh saf perjuangan serta membantu memperteguhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.
“Terima kasih kepada semua perwakilan dan ahli jemaah yang hadir kerana dengan kehadiran dan ucapan yang disampaikan, memberi kesedaran kepada saya. Malah, ia menjadi ruang muhasabah buat diri saya dalam mengimbangi tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan dan sebagai anggota parti yang kita bina bersama.
“Saya amat berharap agar barisan kepimpinan Pas kawasan Arau yang baharu akan terus memperkukuh saf perjuangan serta membantu memperteguh kerajaan PN Perlis, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang semakin hampir,” katanya hari ini.
Pemilihan Pas kawasan Arau semalam menyaksikan kejutan apabila Mohd. Shukri negeri tewas bagi jawatan Yang Dipertua Pas kawasan berkenaan.
Mohd. Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas negeri memperolehi 43 undi tewas kepada penyandang, Solahudin Azmi, menerima sebanyak 128 undi.
Manakala bagi jawatan Timbalan YDP, Speaker kerajaan negeri, Ruselee Eizan gagal mempertahankan kedudukan tersebut selepas tewas kepada Mohd Ridzuan Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji merangkap Exco kerajaan negeri.
Mohd. Ridzuan memperolehi 135 undi jauh meninggalkan Ruselee yang menerima 34 undi.
Bagi jawatan Naib YDP kawasan, seorang lagi Exco kerajaan negeri, Razali Saad yang memperolehi 39 undi tewas kepada Mohd Yusairi Mansor yang mendapat 130 undi.
Sementara itu, beliau melihat Pas kawasa Arau akan terus unggul dengan saf kepimpinan yang kukuh terutama dengan kehadiran dan bantuan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang disifatkan sebagai seorang tokoh ulung yang hebat dan dahsyat.
“Beliau (Shahidan) tidak pernah mengenal penat dan lelah dalam memacu perjuangan ini ke hadapan,” katanya.
Mohd Shukri turut berterima kasih kepada kepimpinan Pas kawasan Arau yang telah berjaya menganjurkan mesyuarat agung tahunan kali ke-51 dengan penuh semangat dan tertib.
“Selesai sudah satu program yang besar dan amat bermakna kepada saya dan seluruh warga jemaah Islam, khususnya Pas Kawasan Arau, setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya ucapkan,” katanya. – UTUSAN