Kekal kepemimpinan ulama bukan maksud tolak profesional Pas

Kekal kepemimpinan ulama bukan maksud tolak profesional Pas

TUAN Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri) diiringi Takiyuddin Hassan (kanan) menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali Ke-58 di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Memberi keutamaan kepada ulama di tampuk kepemimpinan bukan bermaksud Pas menolak golongan profesional, sebaliknya mementingkan individu yang boleh menerima dasar-dasar parti dan berpegang teguh kepada empat sumber asas iaitu al-Quran, hadis, ijtimak ulama dan qias.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu tidak pernah menyekat sesiapapun untuk dicalonkan bagi mana-mana jawatan dalam barisan kepmimpinan parti dan sentiasa kekal dengan sikap terbuka.

“Kita berpegang kepada perlembagaan parti yang memberi kebebasan bagi mana-mana ahli untuk mencalonkan sesiapa sahaja. Itu prinsip asas kita. Cuma kita mengekalkan tradisi kepemimpinan ulama.

“Ia bukan semestinya seorang ulama hakiki tetapi menerima dasar-dasar ditetapkan oleh parti dan berpegang teguh kepada sumber asas kita iaitu al-Quran, hadis, ijtimak ulama dan qias,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu Kali Ke-58, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, apabila disebut perkara berkenaan, maka calon pilihan bagi mengisi tampuk kepemimpinan parti mestilah daripada kalangan mereka yang mahir mengambil nas daripada empat sumber utama dasar-dasar Pas.

“Sebab kita dalam politik ini banyak benda-benda baharu yang memerlukan ijtihad politik. Ia memerlukan kemahiran untuk berijtihad dalam sesuatu keputusan parti.

“Sebab dalam Pas, garis panduan kita adalah tidak boleh melanggar syarak dan kena ikut panduan syarak. Jadi perkara-perkara ini kena ada dan saya rasa itulah yang dimaksudkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin,” ujarnya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Hashim berkata, jika betul Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi berundur daripada jawatannya atas faktor kesihatan, maka calon paling layak menggantikannya adalah dari kalangan ulama hakiki.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas merupakan sebuah parti politik yang mempunyai Majlis Syura Ulama yang mana ahli-ahlinya mestilah individu-individu daripada kalangan ulama.

“Presiden dan Timbalan Presiden (Pas) adalah ahli kepada Majlis Syura Ulama. Dengan kata lain, kedua-dua jawatan itu mesti dalam kalangan ulama. Selesai,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN