PUTRAJAYA: Beberapa kawasan di bahagian utara dan pedalaman tanah air dijangka mengalami purata suhu lebih tinggi berbanding lokasi lain sepanjang Monsun Barat Daya (MBD) yang berlaku bermula bulan lalu hingga September depan.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi MetMalaysia, Ambung Dindang berkata, ini kerana kawasan berkenaan lebih terdedah kepada sinar matahari yang mana mudah diserap oleh bumi.
“Ia sekali gus menjadikan kawasan panas lebih dirasai di kawasan pedalaman dan utara di Semenanjung Malaysia.
“Jika diimbas, suhu tertinggi pernah direkodkan di Chuping, Perlis pada 10 April 1998 dengan bacaan 40.1 Celsius. Itu ketika El Nino dan ia suhu tertinggi pernah direkodkan di negara kita,” katanya pada Sesi Libat Urus Bersama Media Mengenai Persiapan Kerajaan Menghadapi MBD di sini hari ini.
Ditanya mengenai jangkaan suhu yang mungkin direkodkan sepanjang MBD, Ambun berkata, purata suhu panas itu dijangka mencatatkan bacaan sekitar 36 dan 37 Celsius ketika Julai dan dijangka pada Ogos.
“Jadi, suhu itu biasanya yang paling tinggi (ketika MBD), tetapi dalam bulan Oktober ia akan turun kembali,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun tidak menjangkakan ada sebarang kawalan pergerakan ketika cuaca panas MBD.
Namun, katanya, pemantauan akan sentiasa dilakukan dengan mengeluarkan kenyataan sama ada gelombang itu berlaku atau sebaliknya kerana suhu boleh meningkat tinggi.
“Jadi, kita akan memberikan maklumat dari semasa ke semasa untuk mengeluarkan amaran sama ada gelombang itu tahap 1,2 atau 3,” katanya. – UTUSAN