JOHOR BAHRU: Sindiket pengedaran dadah yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan taktik menggunakan perkhidmatan kurier dan menyembunyikan dadah di bawah bungkusan gula-gula ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri ini.
Ia menerusi rampasan lebih 10 kilogram (kg) morfin bernilai hampir RM1 juta hasil pemeriksaan yang ke atas dua buah kotak yang mencurigakan di sebuah pejabat Poslaju di daerah ini pada 23 April lalu.
Pengarah Kastam negeri, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, hasil pemeriksaan terhadap setiap kotak tersebut telah menemukan dua bungkusan gula-gula yang diletakkan di atas botol putih yang mengandungi cecair hitam.
“Ujian dan saringan awal terhadap cecair hitam tersebut positif dadah jenis morfin dengan berat 10.194 kg yang dianggarkan bernilai RM955,687.
“Siasatan awal mendapati parcel itu dihantar dari Hong Kong ke sebuah rumah teres dua tingkat di Pulai,” katanya pada sidang akhbar di Menara Kastam, di sini hari ini.
Aminul Izmeer berkata, beliau percaya sindiket terbabit cuba menyeludup dadah masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai penghantaran barangan biasa bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Modus operandi mereka adalah menggunakan bungkusan gula-gula sebagai penutup dan meletakkan dadah dalam botol cecair berwarna hitam yang sukar dikesan tanpa pemeriksaan rapi.
“Rampasan ini adalah kejayaan besar Kastam Johor dan kami akan terus mempergiatkan pemeriksaan terhadap bungkusan mencurigakan di semua pintu masuk termasuk pusat mel dan kurier,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN