PETALING JAYA: Penyanyi yang mula meraih populariti di Malaysia, Feby Putri, bakal membuat persembahan kali ketiga di Malaysia menerusi Konsert Feby Putri Vol 3, Hitam Putih Live in Kuala Lumpur.
Konsert yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 19 Julai itu bakal menandakan usia setahun sejak kedatangannya di tempat sama tahun lalu.
Penyanyi Solo asal Makassar, Indonesia ini bakal menyanyikan lagu-lagu daripada album terbaharunya, Hitam Putih selepas album Riuh meraih sambutan luar biasa peminat.
“Hitam Putih mencerminkan perjalanan penuh makna yang sangat peribadi terutama saat saya merantau.
“Saya melihat banyak fasa kehidupan tak kiralah manis atau pahit. Album ini mencerminkan warna-warni kehidupan yang disajikan melalui lirik yang jujur,” kata Feby menerusi satu kenyataan media.
Tiket konsert yang dibawakan Miebird Projects ini sudah mula dijual bermula dari harga RM159 sehingga RM359.
Terdahulu, kali pertama Feby mengadakan konsert di Malaysia adalah pada 2023 diikuti tahun 2024 dengan konsert Feby Putri Detik, Minit, Jam Kuala Lumpur. -UTUSAN