GEORGE TOWN : Mayat dua beranak dijumpai dalam keadaan mereput di sebuah rumah di kawasan pangsapuri Jalan Bukit Gambir di sini, malam ini.
Terdahulu, kejadian itu disedari oleh orang awam yang bertindak menghubungi talian kecemasan kira-kira pukul 4.41 petang tadi berikutan terhidu bau busuk yang kuat dari unit kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan Balai Polis Sungai Nibong kemudian dikerah ke lokasi kejadian untuk menyiasat.
Katanya, sepasukan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga berada di tempat kejadian untuk membantu memecah masuk ke dalam rumah tersebut yang dikatakan berkunci.
“Pemeriksaan di tempat kejadian kemudian telah menjumpai mayat seorang perempuan dan bayi perempuan di bilik utama dalam keadaan reput.
“Berdasarkan dokumen pengenalan si mati, kedua-dua mereka yang masing-masing berumur 40 dan dua tahun dipercayai adalah ibu dan anak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Abdul Rozak berkata, susulan kejadian itu, pakar forensik perubatan dari Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Pasukan Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang turut dipanggil untuk membantu siasatan.
“Kedua-dua mayat telah telah dihantar ke Jabatan Forensik di HPP untuk bedah siasat dan buat masa ini, kes tersebut telah diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat,” ujar beliau.-UTUSAN