JRTB perlu dibina baharu, bukan lagi ditampal

JRTB perlu dibina baharu, bukan lagi ditampal

SAARANI Mohamad (tengah) melihat pameran peserta dalam Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri Perak sudah memaklumkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang keperluan menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli ekoran pelbagai perkembangan mutakhir ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri yang hadir ke Perak pada minggu lalu.

Katanya, beliau dan Anwar memahami tentang keperluan tersebut namun mengakui ia bakal melibatkan kos yang tinggi.

Saarani berkata, JRTB yang berusia lebih 40 tahun kini dimamah usia dan tidak lagi boleh diselesaikan dengan hanya menampal segala kerosakan.

“Perlu dilihat semula tentang jajaran dan pelebaran. Menaik taraf ini bukan setakat tampal tetapi keperluan untuk membina semula. Struktur yang ada sudah lama dan sehingga sebahagian daripada kerosakan itu boleh menampakkan lantai.

“Jika sekadar menampal, kemungkinan tidak mencukupi. Kita faham ia memerlukan peruntukan besar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di sini hari ini.

JRTB dibuka pada 1 Julai 1982 setelah 12 tahun masa diambil untuk disiapkan dan sering berdepan ancaman bersenjata komunis yang masuk menerusi hutan sempadan Thailand sehingga penghujung 1980-an.

Jalan tersebut mencuri perhatian negara sejak dua bulan lalu ekoran kes kematian anak gajah yang dilanggar lori serta tragedi meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila bas dinaiki mereka terbabas di puncak Titiwangsa.

Saarani berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan beberapa Exco untuk mengkaji dan mencadangkan bagaimana JRTB serta Hospital Gerik dapat dinaik taraf

Jelasnya, hasil kajian itu kemudian akan dihantar kepada Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Kesihatan untuk memohon menaik taraf JRTB dan Hospital Gerik.

“Sangat penting, jika tidak mangsa kemalangan terpaksa dibawa ke Taiping atau Ipoh. Dari Gerik ke Ipoh mengambil masa selama dua jam. 

“Jika dinaik taraf, memadai pesakit atau mangsa dirawat di Hospital Gerik apabila ada kelengkapan dan kepakaran yang mencukupi. Exco telah diberi tanggungjawab dan setelah hasil kajian mereka siap kita akan tulis surat kepada kementerian,” katanya.

Saarani berharap permohonan Perak untuk menaik taraf JRTB akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia (RMK) yang terdekat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN