JPJ cekup 80 ulat teksi di KLIA1, KLIA2

JPJ cekup 80 ulat teksi di KLIA1, KLIA2

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan (dua, kiri) melihat kereta yang disita sempena Op Khas Ulat KLIA di KLIA. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Mengenakan perkhidmatan sewa kepada orang awam dengan caj tinggi. Itu modus operandi ‘ulat-ulat’ teksi yang beroperasi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2.

Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bertindak tegas menghapuskan kegiatan mereka apabila 80 ulat teksi dicekup menerusi Operasi Ulat sepanjang tahun ini.

JPJ berkata, daripada jumlah tangkapan itu, 69 ulat teksi menggunakan kenderaan persendirian, manakala 10 lagi menggunakan kenderaan perkhidmatan awam dan satu tangkapan dibuat tanpa kenderaan.

“JPJ Selangor berjaya melucuthak kenderaan ulat kepada kerajaan Malaysia menerusi Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya hari ini.

JPJ berkata, Orang Kena Saman (OKS) juga telah dituduh di bawah Seksyen 205 dan dijatuhkan hukuman di bawah akta yang sama dengan denda sebanyak RM5,000.

“Ulat itu menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam yang tiba di balai ketibaan Terminal 1 dan 2 dengan mengenakan caj penghantaran yang tinggi antara RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur dan sekitarnya.

“Ia berbanding teksi biasa atau limo dengan caj antara RM65 hingga RM80 sahaja,” katanya.

JPJ berkata, pihaknya memandang serius kegiatan yang bersifat pentingkan diri dan mengaut keuntungan secara haram dan akan mengambil tindakan tegas bagi membendung kegiatan ulat terbabit.

“Ia juga merupakan gejala negatif yang boleh merosakkan imej negara dan mendatangkan implikasi kepada ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan dan pengangkutan awam di negara ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN