Josiah Hogan enggan masuk campur isu pengarah, penerbit filem Misteri Fraser 1910 - Utusan Malaysia

Josiah Hogan enggan masuk campur isu pengarah, penerbit filem Misteri Fraser 1910

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya tahu apa yang berlaku antara pengarah dan penerbit. Difahamkan isu itu juga agak serius. Tetapi saya memilih untuk tidak masuk campur.”

Demikian kata pelakon, Josiah Hogan yang enggan menambah garam dalam konflik antara pengarah dan penerbit filem Misteri Fraser 1910 iaitu Shuhaimi Zulkefli, Amai Kamarudin dan Elani Aidid.

Menurut Josiah, penglibatannya menerusi naskhah tersebut kerana sudah lama mahu bekerjasama dengan Shuhaimi malah berpendapat pengarah itu perlu diberi penghargaan atas hasil kerja kerasnya.

“Penglibatan saya memegang watak Mr. Fraser menerusi naskhah ini kerana saya sudah lama mahu bekerja di bawah arahan Shuhaimi. Melihat hasilnya berdasarkan bajet serta masa yang diperuntukkan, saya rasa dia perlu diberikan penghargaan.

“Pada saya, bukan mudah untuk seorang pengarah untuk menghasilkan sesuatu karya yang berkualiti dalam masa yang singkat,” katanya ketika ditemui pada malam tayangan perdana Misteri Fraser 1910, pada Rabu.

Meskipun terkejut dengan isu pengguguran nama pengarah terbabit dalam setiap bahan promosi karya layar perak itu, Josiah bagaimanapun memilih untuk kekal profesional selain enggan mengeruhkan keadaan.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan nama beliau, namun saya sentiasa berpegang pada satu prinsip. Dalam dunia lakonan ini, pengarah itu ibarat ‘Tuhan’.

“Dia boleh menghidupkan dan mematikan sesebuah watak. Sama seperti kehidupan sebenar, Tuhan itu penting,” jelasnya.

Sebelum ini, Amai dan Elani memaklumkan mereka tidak mengundang Shuhaimi pada sesi malam gala dan tayangan perdana filem tersebut kerana hubungan mereka masih tegang.

Kedua-dua penerbit itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kemelut yang berlaku di antara mereka demi menghormati prosiding mahkamah yang masih berlangsung.

Selain Josiah, filem tersebut turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Isyariana, Siti Hariesa, A.Galak dan Datuk Rahim Razali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN