PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan rujukan undang-undang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai imuniti Perdana Menteri adalah selari dengan prinsip asas kedaulatan undang-undang dan doktrin pemisahan kuasa.
Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jawatan Perdana Menteri tidak seharusnya menjadi perisai diri oleh mana-mana pihak untuk mengelak daripada dibicarakan di mahkamah.
“Siapa pun yang memimpin negara, beliau mempunyai tanggungjawab moral untuk memperlihatkan tauladan kepimpinan kepada rakyat, dengan bersedia untuk melalui setiap proses kehakiman secara terbuka, demi imej serta kemuliaan institusi Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung saman sivil difailkan bekas pembantunya, Yusoff Rawther.
Hakim Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas mendapati persoalan yang dikemukakan tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan ia dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.
Hamzah turut membidas alasan Anwar bahawa permohonan itu bertujuan melindungi jawatan awam tertinggi negara daripada sebarang ‘litigasi bermotifkan politik’ atau ‘mengganggu institusi’.
Jelas Hamzah, sistem perundangan di Malaysia secara khusus mempunyai mekanisme bagi menapis saman yang remeh atau berniat jahat.
“Konsistensi adalah penting, jika ada mana-mana pihak cuba memberikan gambaran seolah-olah kehakiman negara tidak mampu membezakan antara tuntutan yang sah.
“Berbanding ‘motif politik’, ia merupakan satu penghinaan terhadap kebebasan badan kehakiman yang sepatutnya dipertahankan,” katanya. – UTUSAN










