Jangan main isu sensitif, rakyat mahu perpaduan

Jangan main politik dan isu sensitif, rakyat mahu perpaduan bukan perpecahan – Sultan Ibrahim

SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan supaya para pemimpin tidak bermain politik membabitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan perbalahan dan menggugat kestabilan negara.

Seri Paduka bertitah, sebarang keputusan perlu dibuat dengan menggunakan akal dan mengambil kira kesan terhadap rakyat dan negara.

“Suka saya ingatkan kepada para pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif, yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara,” titah Seri Paduka pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2025 di Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan parti politik baharu dan kem-kem dalam parti sedia ada, yang akan membawa kepada perpecahan dan budaya benci-membenci dalam kalangan rakyat.

“Apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah-belah dan benci-membenci di antara satu sama lain. Gunakanlah akal sebelum buat sebarang keputusan,” titah Sultan Ibrahim.

Titah Yang di-Pertuan Agong, tiada hadiah yang lebih bermakna buat diri Seri Paduka selain melihat rakyat yang bersatu-padu.

“Saya pernah sebutkan dulu, ada satu virus yang akan melanda negara kita. Sekarang kita nampak virus ini telah mula menular dan tidak boleh diubati. (Awak fikirlah apa virusnya),” titah Seri Paduka.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan berkaitan isu perpaduan perlu sering disuarakan agar rakyat tidak mudah lupa.

“Saya sering bercakap mengingatkan perkara ini supaya kita tidak mudah lupa,” titah Sultan Ibrahim.

Yang di-Pertuan Agong justeru itu menyeru seluruh rakyat agar menghadiahkan perpaduan yang kukuh dan berkekalan kepada Seri Paduka sebagai tanda kasih dan taat setia.

“Saya menyeru kepada semua rakyat jelata, berikanlah saya hadiah perpaduan yang kukuh dan berkekalan,” titah Seri Paduka.

Sultan Ibrahim memaklumkan bahawa Seri Paduka akan mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan bagi menyantuni rakyat secara lebih dekat.

Seri Paduka turut menyatakan hasrat untuk mengagihkan sendiri wang zakat kepada golongan miskin dan asnaf lapan, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab kemasyarakatan dan keprihatinan terhadap rakyat yang memerlukan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN