SHAH ALAM: Tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar daripada parti disifatkan hanya mementingkan diri sendiri setelah telah diberikan pelbagai jawatan.
Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, Tengku Zafrul tidak sepatutnya keluar daripada UMNO memandangkan beliau ketika ini menjadi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atas tiket parti itu sendiri.
“Jangan jadikan (penyertaan dalam) parti ini sebagai tempat cari kerja. (Fungsi) parti bukan seperti organisasi korporat.
“(Tempoh perkhidmatan) dah nak habis, pergi cari kerja di tempat lain. Ini bukan pemimpin politik (yang baik),” katanya dalam sidang akhbar khas Pemuda UMNO Selangor di Bangunan UMNO Selangor, malam semalam.
Imran mengakui bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu merupakan individu bijak yang mampu menggalas apa sahaja jawatan yang diberikan kepadanya, namun mengingatkan bahawa menyertai mana-mana parti politik bukan tiket mendapat habuan dalam kerajaan.
Tegasnya, menyertai UMNO adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada parti dan masyarakat serta menjadikan reputasi parti lebih baik daripada sebelumnya.
“Walaupun di dalam Perlembagaan menyatakan seseorang rakyat Malaysia bebas untuk menyertai mana-mana parti politik dalam negara, tetapi tindakan (Tengku Zafrul keluar UMNO) merupakan sikap tidak baik yang ditonjolkan oleh seorang pemimpin politik.
“Tengku Zafrul telah diangkat untuk mendapat beberapa jawatan dalam UMNO. Jadi tindakan beliau ini (keluar parti) menonjolkan beliau tidak ada sikap tanggungjawab terhadap parti.
“Beliau masih lagi Menteri atas tiket Senator yang diberikan UMNO, tetapi sudah letak jawatan dalam UMNO. Ini tindakan apa sebenarnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd. Tamrin berkata, Pemuda UMNO Selangor meminta UMNO pusat untuk bertegas dengan Kerajaan Perpaduan ketika ini, iaitu perlu mempertahankan jumlah komposisi ahli UMNO dalam kabinet iaitu tujuh orang Menteri dan lima orang Timbalan Menteri.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Tengku Zafrul pada Jumaat lalu mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam UMNO bagi menyertai PKR setelah mempertimbangkan pelbagai perkara serta mendapat pandangan daripada beberapa ahli politik termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.-UTUSAN