GERIK: Pengguna Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli dinasihat tidak berhenti untuk merakam video lokasi kemalangan bas melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53 jalan itu semalam kerana ia merupakan kawasan kemunculan gajah.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, jika ada keperluan sekalipun berada di tempat tersebut, pilih waktu yang sesuai iaitu tengahari antara pukul 10 pagi sehingga 4 petang.
Katanya, waktu gajah akan mula muncul pada lewat petang sehingga awal pagi.
“Sila berhati-hati. Potensi untuk gajah muncul memang ada. Kalau malam dan awal pagi, jangan berenti di situ,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Berdasarkan tinjuan, dilihat terdapat banyak najis gajah di tepi jalan menuju ke kawasan kemalangan tersebut.
Malah kejadian anak gajah yang mati dilanggar lori pada awal bulan lalu itu terletak kira-kira 20 minit ke arah Jeli dari lokasi kemalangan bas.
Seorang pemandu kenderaan berat yang berada di lokasi memberitahu selain gajah, harimau juga kadang kala boleh muncul.
Menurut pemandu tersebut, apabila tiba di puncak Titiwangsa, mereka yang kerap memandu di jalan itu akan berhati-hati terutama pada waktu malam.
Sepanjang dua hari selepas nahas bas yang membawa pelajar UPSI, kenderaan yang melalui kawasan tersebut dilihat bergerak perlahan untuk melihat lokasi kejadian dan ada yang tidak melepaskan peluang merakam video atau mengambil gambar. – UTUSAN