Ketika bulan Muharam menjelma, umat Islam di seluruh dunia bukan sekadar menyambut detik peralihan tahun baharu.
Umat Islam sebenarnya memperingati satu peristiwa agung yang telah mengubah landskap sejarah manusia iaitu penghijrahan Nabi SAW dari Mekah ke Madinah.
Peristiwa bersejarah tahun 622 Masihi ini bukan sekadar migrasi fizikal, tetapi merupakan titik tolak kebangkitan sebuah peradaban gemilang yang berteraskan cahaya keimanan.
Perkataan ‘hijrah’ berasal dari bahasa Arab yang bermaksud berpindah tempat atau keadaan atau sifat.
Makna lain adalah memutuskan hubungan antara dirinya dengan sesuatu atau juga sebagai keadaan yang memaksa orang untuk berpindah atau meninggalkan pekerjaan yang tidak baik atau merugikan.
Manakala, menurut istilah pula bermaksud perpindahan Nabi SAW dan para Sahabat dari Mekah ke Madinah dengan tujuan untuk menyelamatkan diri daripada ancaman orang kafir dan musyrik menuju ke kota yang aman dan penuh keimanan.
Strategi Genius di Sebalik Hijrah
Mungkin ramai tidak sedar, hijrah Nabi SAW merupakan operasi tersusun rapi yang penuh dengan perancangan strategik.
Baginda bukan sekadar melarikan diri daripada ancaman Quraisy, tetapi melaksanakan satu misi dakwah terancang.
Kisah persembunyian di Gua Thur selama tiga hari menunjukkan kecerdikan baginda mengelirukan musuh. Bayangkan betapa hebatnya taktik ini dengan menggantikan Ali bin Abi Talib yang masih muda belia di tempat tidur, sementara Nabi SAW sendiri menelusuri jalan rahsia menuju Yathrib bersama Abu Bakar al-Siddiq.
Lebih menarik, baginda turut melibatkan pakar navigasi bukan Muslim bernama Abdullah bin Uraiqit sebagai pemandu jalan. Ini membuktikan kejayaan sesuatu misi memerlukan kerjasama pelbagai pihak tanpa mengira latar belakang.
Masyarakat Islam boleh mengambil iktibar dalam konteks moden iaitu kecemerlangan memerlukan perancangan rapi, kerjasama erat dan kebijaksanaan menggunakan segala sumber yang ada.
Pengorbanan yang Menggetarkan Jiwa
Hijrah mengajarkan erti pengorbanan sebenar, contohnya Abu Bakar al-Siddiq sanggup menginfakkan seluruh hartanya yang bernilai semata-mata untuk menegakkan dan membela agama Allah SWT.
Kisah Mus‘ab bin Umair pula cukup menyentuh hati iaitu daripada seorang pemuda kaya raya yang hidup mewah di Mekah, akhirnya syahid dalam keadaan kain kafan tidak cukup untuk menutupi seluruh jasadnya.
Pengajaran di sini sangat jelas pengorbanan hakiki bukan sekadar melibatkan material, tetapi lebih kepada kesanggupan meninggalkan zon selesa dan kepentingan peribadi demi sesuatu yang lebih besar.
Pada zaman moden ini, hijrah mungkin bermaksud mengorbankan masa lapang untuk menuntut ilmu atau meninggalkan hiburan yang melalaikan untuk lebih fokus pada ibadah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”. (Surah: 40)
Ayat ini turun ketika Nabi SAW dan Abu Bakar melarikan diri berlindung di dalam Gua Thur untuk menyelamatkan diri daripada pihak musyrikin yang mencari dan mengejar. Ketika itu tentunya keadaan amat genting, lalu Nabi SAW berkata kepada Abu Bakar seperti ayat tersebut untuk mententeramkan hati dan perasaan.
Kisah ini mengajarkan setiap kesulitan pasti ada penyelesaiannya.
Penderitaan fizikal yang dialami Nabi SAW dan sahabat iaitu kepanasan gurun, kekurangan bekalan dan ancaman keselamatan tidak sedikit pun mengurangkan ketabahan.
Masyarakat Islam yang mungkin sedang menghadapi tekanan kerja, masalah kewangan atau cabaran keluarga, ingatlah ujian sebenarnya tangga menuju kejayaan yang lebih besar.
Model Masyarakat Ideal
Salah satu kejayaan terbesar hijrah ialah terbinanya masyarakat Islam pertama di Madinah. Nabi SAW memperkenalkan sistem ‘mu’akhah’ (persaudaraan) iaitu mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar.
Bayangkan orang Muhajirin yang miskin dan kehilangan segala harta benda dipersaudarakan dengan penduduk Ansar yang sanggup berkongsi rumah, harta bahkan perniagaan.
Lebih menarik, Piagam Madinah yang telah digubal Nabi SAW menjadi perlembagaan pertama dunia yang menjamin hak semua warganegara tanpa mengira agama, bangsa dan status.
Kepelbagaian yang wujud antaranya Salman al-Farisi yang berasal dari Parsi, Suhaib al-Rumi dari Rom dan Bilal bin Rabah merupakan bekas hamba mendapat tempat yang sama dalam masyarakat Islam.
Hijrah bermula dari diri sendiri
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”. (Surah al-Ra‘d: 11)
Hijrah yang sebenar perlu bermula dari dalam diri setiap insan, kemudian dikembangkan kepada keluarga dan masyarakat.
Pertama, hijrah diri. Meninggalkan maksiat dan perkara sia-sia untuk memperbanyak ibadah dan menuntut ilmu.
Kedua, hijrah keluarga. Mendidik anak-anak dengan nilai Islam yang sebenar, bukan sekadar mengejar kecemerlangan akademik.
Ketiga, hijrah masyarakat. membantu golongan yang memerlukan, sokong ekonomi ummah dan jaga hubungan kejiranan.
Ketika menyambut Muharam 1447 Hijrah ini, masyarakat Islam perlu menjadikannya sebagai titik tolak perubahan yang lebih bermakna.
Hijrah bukan sekadar ritual tahunan yang kita ingati, tetapi falsafah hidup yang perlu diterjemahkan dalam setiap tindakan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tapi jangan lupakan bahagianmu di dunia”. (Surah al-Qasas: 77)
Semoga dengan semangat hijrah ini, setiap individu mampu menjadi agen perubahan untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara tercinta.
Hijrah bukan sekadar memperingati sejarah, tetapi menghidupkannya dalam realiti kehidupan hari ini.-UTUSAN
Azri Bhari Profesor Madya di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) & Ahli Jawatankuasa Pembangunan Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).