PETALING JAYA: Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menggesa kerajaan memperkukuh sistem perundangan Islam bagi mengelak eksploitasi dan penyelewengan terhadap hukum syariah yang sah.
Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, Islam bukan hanya agama ritual semata-mata, tetapi merangkumi keseluruhan sistem kehidupan, termasuk aspek undang-undang, nilai dan tadbir urus.
Katanya, fatwa merupakan instrumen penting dalam memelihara akidah dan moral umat Islam serta membentuk arah tuju masyarakat yang sejahtera.
“Fatwa tetap boleh dikenakan ke atas mana-mana individu Muslim, walaupun mereka bernaung di bawah entiti korporat atau organisasi berdaftar, sekiranya terlibat dengan pemikiran atau tindakan yang menyeleweng daripada asas Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, perundangan sedia ada perlu dikaji semula agar tidak dimanipulasi oleh pihak tertentu yang cuba menyebarkan fahaman sesat melalui saluran sah seperti syarikat atau yayasan.
Menurutnya, struktur pentadbiran fatwa dan pelaksanaan undang-undang Islam perlu diperkasa tanpa menjejaskan prinsip asas syariah, dan ia hendaklah dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Penambahbaikan ini perlu memperjelas peranan serta pengiktirafan entiti Islamik dalam sistem undang-undang negara, agar mereka tertakluk kepada semakan syariah yang telus dan berautoriti.
“Ia juga bagi mengelak manipulasi oleh entiti yang mendakwa membawa imej Islam seperti GISB Holdings, SIS dan yang seumpamanya,” katanya. – UTUSAN