Isu guru duka lara sentiasa dalam perhatian KPM

Isu guru duka lara sentiasa dalam perhatian KPM

FADHLINA Sidek (kanan) ketika hadir pada Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa berusaha menangani isu guru ‘duka lara’ yang berdepan kesukaran untuk memohon pertukaran lokasi penempatan walaupun telah berkhidmat selama dua tahun.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, isu itu bagaimanapun perlu diteliti daripada pelbagai aspek agar ia tidak menjejaskan ekosistem pendidikan ketika ini.

“Apabila perkara ini (pertukaran selepas dua tahun berkhidmat) diumumkan, ia terbit daripada rasa empati dan keprihatinan kita yang tinggi terhadap isu-isu yang berlaku.

“Sebelum ini, kita tetapkan tempoh minimum iaitu selama tiga tahun. Kemudian, kita kurangkan tempoh itu kepada dua tahun tanpa apa-apa syarat tambahan.

“Apapun, kita kena ambil perhatian agar isu-isu ini tidak menjejaskan ekosistem pendidikan termasuklah kekosongan guru di sesebuah lokasi (penempatan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu permohonan pertukaran guru duka lara yang sukar untuk ditangani sepenuhnya.

Difahamkan, hal ini berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan permohonan pertukaran membabitkan beberapa negeri yang dikatakan jauh lebih tinggi berbanding kekosongan semasa.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM pada masa yang sama turut memberi perhatian terhadap isu-isu yang dibangkitkan berkaitan guru seperti terpaksa berjauhan dari keluarga dan sebagainya.

“Ini memang menjadi keutamaan kita (dalam memproses permohonan) selain alasan-alasan lain termasuklah berkaitan kesihatan dan keselamatan.

“Jadi, kami minta cikgu-cikgu agar bersabar dan kita akan uruskan permohonan pertukaran mereka dengan sebaiknya, Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN