PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim, menegaskan dia dan isteri, Siti Khalizah Alihan, 37, masih saling mencintai.
Jelas Fikry, kehadiran isterinya di Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pagi tadi adalah bertujuan untuk menarik semula kes perceraian yang telah dibuat pada Mei.
“Hakikatnya pagi tadi, isteri saya datang ke mahkamah adalah untuk menarik semula kes. Mahkamah minta tangguh ke satu tarikh kerana tidak mahu dilihat seperti mempermainkan mahkamah.
“Sebagai suami, saya sudah berjanji dan mengambil tanggungjawab untuk menjaga isteri dengan baik dan akan mempertahankan keluarga selagi mana mampu,” katanya dalam satu temu ramah di program hiburan, pada Khamis.
Tambah pengacara Melodi itu lagi, dia juga dengan tegas menafikan pelbagai andaian yang timbul termasuklah konon isteri berasa letih kerana tinggal bersama ibunya.
“Saya menidakkan (ingin bercerai), kami berdua saling mencintai antara satu sama lain. Tiada istillah kami kahwin terpaksa, sebaliknya kami kahwin atas dasar cinta yang ikhlas.
“Lepastu saya juga ada baca yang isteri saya tidak gembira kerana duduk dengan mak saya. Macam, kalian pula yang duduk dengan kami.
“Isteri saya ikut saya ke mana sahaja saya pergi. Kadang kala dia ikut saya pergi Kuala Lumpur,” katanya.
Terdahulu, isteri kepada pelakon, Fikry Ibrahim, Siti Khalizah Alihan, 37, telah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Khamis.
Peguam mewakili Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd Razib memaklumkan, punca anak guamnya menuntut perceraian adalah disebabkan tiada persefahaman.
Mahkamah menetapkan satu tarikh baharu iaitu pada 10 September susulan ketidakhadiran Fikry.
Sebelum ini, Fikry dan Khalizah selamat bernikah pada 12 Januari lalu dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di Kedah. -UTUSAN