IPO: Cuckoo rancang guna dana untuk kembang perniagaan

IPO: Cuckoo rancang guna dana untuk kembang perniagaan

Ken Low
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cuckoo International (MAL) Bhd. (Cuckoo), anak syarikat kepada Cuckoo Homesys Co. Ltd. dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada bulan ini dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.29 sesaham.

Penyenaraian itu dijangka menjadi IPO terbesar di negara ini sejak penyenaraian 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd. pada Ogos 2024, yang meraih RM2.36 bilion dan mencatat kenaikan 12.1 peratus pada hari pertama dagangan.

Bagi IPO kali ini, sejumlah 143.28 juta saham baharu diperuntukkan kepada pelabur runcit, dengan jangkaan kutipan dana berjumlah RM184.8 juta.

Ketua Urus Niaga Moomoo Malaysia, Ken Low berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk pembelian produk bagi pengembangan perniagaan sewaan untuk 56.7 peratus, pembayaran balik pinjaman bank sebanyak 21.6 peratus, dan perbelanjaan penyenaraian 10.6 peratus.

“Sebahagian kecil akan digunakan bagi pengembangan di Singapura, penambahbaikan sistem IT dan pembukaan kedai konsep Brandshop.

“Cuckoo kini memberi manfaat kepada lima juta isi rumah di seluruh negara, dan mencatat pendapatan sebanyak RM1.12 bilion bagi tahun kewangan 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Dengan memegang pasaran sebanyak 23.1 peratus setakat Disember 2024, syarikat itu kini merupakan pemain kedua terbesar dalam pasaran penyewaan peralatan rumah di Malaysia.

Bagi tahun kewangan sama, segmen penyewaan menyumbang 62.1 peratus daripada jumlah pendapatan, diikuti perkhidmatan selepas jualan (33.7 peratus) dan jualan produk (3.8 peratus). Selebihnya disumbang oleh segmen perniagaan kecil seperti WonderLab dan WonderDewi.

Cuckoo merancang untuk membuka 10 kedai runcit konsep cash-and-carry di Malaysia menjelang 2026 serta lima cawangan runcit pihak ketiga di Singapura.

Selain itu, syarikat juga menyasarkan pengembangan pasukan jualan sebanyak 20 peratus, terutamanya di kawasan kurang diterokai seperti Kelantan, Terengganu, Pahang dan Melaka.

Dari segi pelaburan, IPO ini menawarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 21 kali berdasarkan pendapatan asas sesaham sebanyak 6.1 sen, dengan permodalan pasaran dianggarkan kira-kira RM1.85 bilion.

Cuckoo juga merancang pembayaran dividen sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keuntungan bersih, tertakluk kepada keperluan modal dan prestasi kewangan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN